Di sebalik kecemerlangan skuad hoki lelaki negara, mereka kini dikejutkan dengan kemungkinan penggantungan dua tahun terhadap penjaga gol berpengalaman, S. Kumar, ekoran positif ujian doping jenis sibutramine ketika Piala Asia di Dhaka, Banglasesh, Oktober lalu.

Ia diumumkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, hari ini selepas menerima surat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Selasa lalu.

Dalam tempoh kurang seminggu, Kumar dan KHM sendiri mencapai kata sepakat untuk menerima keputusan itu dan menolak peluang kedua menerusi ujian sampel B, sebaliknya memilih sesi
pendengaran sebagai usaha untuk membela diri.

Dengan rekod bersihnya, pihak KHM teguh di belakang pemain berpengalaman itu selain Kumar memiliki hujah untuk menguatkan usaha meringankan hukuman yang bakal diterimanya.

"Kami sedang dalam proses untuk mengenal pasti tetapi dalam surat itu menyatakan ia bukan untuk menguatkan fizikal, bukan. Ia ada suatu bahan yang dilarang di dalamnya.

"Jadi, kami masih (mahu) merayu dan berharap dapat membuat pendengaran," kata Subahan dalam sidang media di Bilik Mesyuarat KHM di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, petang tadi.

Tambah Subahan, apa yang berlaku ke atas Kumar tidak menjejaskan keputusan skuad negara dalam Piala Asia kerana ia hanya melibatkan seorang pemain.

Pemain berusia 38 tahun dari Negeri Sembilan itu diarah menjalani ujian doping selepas aksi terakhir peringkat kumpulan bertemu Oman.

"Masih ada pendengaran yang adil untuk Kumar, sebab itu kami membalas kepada FIH, mengatakan kami menerima apa sahaja tuduhan yang dilontarkan kepada kami atau Kumar.

"Kami tidak akan bersembunyi dan akan tampil secara terbuka tetapi kami akan cuba cari penyelesaian terbaik untuk memastikan Kumar dibersihkan daripada perkara ini.

"Kami juga mahukan Kumar kerana kami membuat persiapanan untuk Sukan Asia tahun depan. Dalam temasya itu, kami perlu berada dalam final bagi mendapatkan pingat emas. Bukan penjaga gol simpanan kita tidak bagus tetapi Kumar adalah Kumar. Kami memerlukan Kumar," tambahnya.