Penjaga gol negara, S. Kumar, bakal mencatat sejarah pemain paling banyak menyertai Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila bersiap-sedia menyarung jersi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk musim ke-20 bermula 10 Januari ini.

Kumar menegaskan dia kini pulih daripada kekecewaan susulan gagal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan akan bertindak sebagai benteng terakhir TNB yang dibarisi majoriti pemain muda.

Situasi itu bermakna penjaga gol berusia 40 tahun itu perlu bekerja keras untuk memacu pemain muda ketika pihak pengurusan menyasarkan dua trofi musim ini.

"Sasaran itu boleh diraih tetapi kami perlu kerja keras. Tahun lalu sasaran sama diletakkan, cuma kali ini kami perlu mendapatkan salah satu daripada apa yang ditetapkan. Kami perlu pastikan segalanya berjalan baik," katanya.

LHM musim 2020 akan membuka tirai dengan aksi Terengganu Hockey Team (THT) menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bagi merebut Piala Sumbangsih.

Justeru, Kumar dan rakan sepasukannya perlu menyapu bersih baki trofi liga dan Piala TNB untuk mencapai sasaran mereka.

"Rata-rata pemain masih sama dengan pasukan musim lalu, cuma ada penambahan beberapa muka baru. Sebagai pemain senior dalam pasukan, saya perlu mainkan peranan penting untuk membimbing mereka," kata pertahanan TNB, Syed Syafiq Syed Cholan.

"Tahun ini ramai pemain muda tetapi ramai juga nama daripada kalangan kem senior. Banyak teknik yang boleh dipelajari oleh pemain muda," tambah rakan sepasukannya, Amirul Hamizan Azahar.