Bekas pemain hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, tidak menyangka S. Kumar didapati positif sibutramine ketika Piala Asia di Dhaka, Banglasesh, Oktober lalu.

Selain menunjukkan aksi cemerlang ketika bersama pasukan, katanya, penjaga gol skuad kebangsaan itu memiliki disiplin yang baik selama ini.

"Bukan saya sahaja tetapi peminat-peminat hoki tanah air turut terkejut dengan berita itu.

"Ia kerana kita tahu Kumar seorang pemain yang begitu berdisiplin, mempunyai komitmen yang tinggi, berdedikasi dan sentiasa memberi aksi terbaik semasa menyarung jersi pasukan kebangsan," katanya ketika dihubungi Nadi Arena, sebentar tadi.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, hari ini mengumumkan perkara itu sambil menjelaskan Kumar berdepan penggantungan dua tahun selepas menerima surat daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) pada Selasa lalu.

Kumar dan badan induk hoki negara itu mencapai kata sepakat untuk menerima keputusan tersebut dan menolak peluang kedua menerusi ujian sampel B, sebaliknya memilih sesi pendengaran sebagai usaha untuk membela diri.

Ditanya adakah ia keputusan tepat, Mirnawan berkata: "Mungkin dia mempunyai sebab tertentu untuk menolak ujian sampel B kerana tahun depan, skuad negara memiliki tiga kejohanan penting, iaitu Sukan Komanwel, Piala Dunia dan Sukan Asia.

"Mungkin ada nasihat diberikan bagaimana untuk menangani situasi ini. Bagi saya, saya menyokong apa sahaja keputusan yang dibuat Kumar kerana saya pasti ia untuk dirinya dan kepentingan skuad negara."

Mirnawan turut menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi, sebaliknya memberikan sokongan kepada penjaga gol itu.

"Harapan saya, kita rakyat Malaysia, terutama peminat sukan hoki, agar tidak membuat spekulasi tetapi terus menyokong Kumar untuk skuad negara," ujarnya.