Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, masih mencari rentak permainan walaupun baru sahaja mengakhiri Siri Jelajah Eropah dan bakal memulakan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020, Sabtu ini.

Pemain berusia 40 tahun itu direhatkan sejak awal Februari lalu akibat kecederaan terkoyak otot paha dan kembali menyertai program latihan bulan lalu.

Walaupun sudah dua bulan kembali berlatih, dia mengakui masih gagal mencari rentak permainan walaupun baru sahaja mengakhiri Siri Jelajah Eropah yang menyaksikan Malaysia menentang negara-negara gergasi dalam arena hoki.

"Selepas berehat empat bulan, saya perlu mendapatkan rentak sebenar sebaik yang mungkin.

"Fizikal saya perlu di tahap yang mantap kerana Siri Jelajah Eropah membabitkan latihan berterusan dan kami perlu ke pelbagai destinasi. Kami juga menghadapi perlawanan di tahap tinggi.

"Jadi, kami perlu berehat dan memulihkan fizikal," katanya.

Tambahnya, walaupun di Jepun hanya perlawanan menguji gelanggang, skuad negara tetap menyasarkan kemenangan ke atas negara seperti India yang berada di ranking kelima dunia dan New Zealand di ranking kelapan dunia.

"Sudah tentu kami akan ke sana untuk menang, kami mahu menunjukkan kemajuan.

"Kami tidak mahu sekadar pergi dan kemudian balik. Kami ke sana dengan mentaliti untuk menang," tambahnya.

Kejohanan ujian tersebut diadakan bagi memastikan lokasi serta prosedur operasi berada di landasan terbaik sebelum bermulanya Sukan Olimplik Tokyo 2020 dan hoki antara 56 perlawanan ujian yang diadakan di sekitar Tokyo.