"Masih memerlukan banyak kerja rumah", kata bekas penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, yang memulakan sesi latihan pertamanya sebagai jurulatih penjaga gol skuad hoki remaja negara hari ini.

Mengenai pengalaman pertamanya sebagai pembimbing skuad muda itu, Kumar berkata: "Memang terdapat banyak perbezaan. Dahulu saya turun ke padang sebagai pemain tetapi hari ini, saya sudah menjadi bekas pemain negara.

"Saya perlu memantau penjaga gol muda ini memandangkan Piala Remaja Asia sudah semakin hampir.

"Saya lihat kerja rumah untuk saya sangat banyak.

"Selepas ini, saya perlu menjalankan latihan setiap hari kerana perkara asas mereka perlu diperkuatkan untuk menjadi penjaga gol yang bagus.

"Pagi tadi, saya melakukan latihan asas dan dapat lihat mereka kepenatan.

"Jika tiada asas yang kukuh, mereka tidak boleh menjadi penjaga gol yang bagus, jadi saya perlu memberikan banyak latihan buat mereka," katanya.

Mengenai peluang skuad muda negara itu dalam Piala Remaja Asia di Bangladesh, Jun depan, Kumar menambah: "Peluang itu memang ada tetapi sebagai bekas penjaga gol kebangsaan, saya tahu kepentingan bahagian itu.

"Penjaga gol perlu memastikan keseluruhan pasukan kekal dalam permainan.

"Jadi, tugas saya bukan mudah untuk menghasilkan penjaga gol bertaraf dunia.

"Saya akan melatih mereka untuk menjadi penjaga gol yang baik," katanya lagi.