Penjaga gol hoki negara, S. Kumar, meluahkan rasa kesal apabila Malaysia masih gagal menyelesaikan masalah konsisten sejak beberapa tahun lalu.

Ia merupakan punca tuan rumah tersingkir dalam separuh akhir Trofi Juara-Juara Asia, apabila tewas 2-3 menerusi penentuan pukulan penalti di tangan Pakistan.

Malaysia hanya mampu beraksi cemerlang pada awal saingan.

Prestasi akan menurun pada pertengahan kejohanan sebelum tewas pada perlawanan penting.

Ia berlaku ketika tewas kepada Pakistan, malam tadi.

“Saya telah bertemu dengan Pakistan banyak kali, jika bertemu mereka di peringkat ini, kami gagal mengatasi mereka.

"Jika bertemu dalam final, mereka pasti dapat memenangi perlawanan. Layak ke separuh akhir dalam kejohanan ini merupakan satu pencapaian yang bagus, cuma agak kesal kerana gagal layak ke final,” kata Kumar.

Malaysia menewaskan juara bertahan itu, 4-2 di peringkat liga, namun bergelut sepanjang 60 minit permainan dalam separuh akhir.

Gol pembukaan menerusi penyerang, Shahril Saabah, pada minit ke-18 juga tidak bertahan lama apabila Abd Asim Khan menyamakan kedudukan pada minit ke-34.

Perlawanan diheret ke penentuan penalti yang menyaksikan Faiz Helmi Jali, Shahril dan Fitri Saari gagal menyempurnakan tugas mereka.

“Saya kecewa kerana gagal membantu Malaysia ke final. Selepas ini, saya perlu menjalani lebih banyak latihan penalti shootout untuk memperkemaskan lagi permainan saya,” ujar Fitri.