Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, menghidupkan peluangnya untuk ke Piala Dunia 2018 apabila menyertai sesi latihan secara penuh walaupun belum pulih daripada kecederaan tangan kanan.

Masa kian suntuk untuk beberapa pemain yang cedera untuk terpilih ke Piala Dunia dengan senarai penuh 18 pemain yang bakal beraksi akan diumumkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Isnin ini.

Setakat ini, pertahanan negara, Mohd Najib Abu Hassan, sah digugurkan ekoran kecederaan posterior cruciate ligament ketika membantu Malaysia meraih tangga ketiga Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Oman, bulan lalu.

Bagaimanapun, situasi Kumar lebih positif untuk membuat penampilan kedua dalam Piala Dunia.

"Saya mula menjalani rawatan dan berharap untuk kembali berlatih sepenuhnya minggu depan. Jika segalanya berjalan lancar, saya meletakkan harapan untuk beraksi dalam Piala Dunia," kata Kumar.

"Saya agak kecewa dengan kecederaan ini yang memaksa saya terlepas saingan Piala Dunia, saya berharap untuk pulih dan kembali berlatih bersama skuad kebangsaan," kata Najib pula.

Malaysia memiliki tiga lagi penjaga gol, iaitu Mohd Hairi Abd Rahman, Mohd Hafizuddin Othman dan Zaimi Md Deris.

Namun, Kumar akan membuat penampilan terakhir dalam Piala Dunia memandangkan usiaya sudah mencecah 39 tahun.