Pasukan hoki negara berharap hukuman terhadap S. Kumar berhubung kes dopingnya dapat dikurangkan kerana kehadiran penjaga gol itu penting bagi menghadapi Sukan Asia Indonesia Ogos tahun depan.

Ia menjadi keutamaan skuad negara memandangkan pemenang pingat emas dalam kejohanan itu akan melayakkan diri secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, Malaysia akan turut mencabar Piala Dunia 2018 di India pada November.

"Secara peribadi, saya mengharapkan dia masih dapat membantu kami dalam Sukan Asia.

"Kami tahu pengalamannya sangat berharga. Semoga hukumannya dapat dikurangkan jika disabitkan kesalahan," kata kapten pasukan negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib.

Kumar didapati positif bahan jenis sibutramine yang biasa terdapat dalam pil menguruskan badan dalam Piala Asia di Dhaka, Bangladesh pada Oktober lalu dan berdepan hukuman penggantungan dua tahun.

Sementara itu, penjaga gol simpanan negara, Mohd Hafizuddin Othman, berkata sukar untuknya sekira diberi peluang mengambil alih tugas Kumar walaupun sedar dia perlu berusaha lebih keras.

"Sukar bagi saya untuk menggalas tanggungjawab itu, yang penting saya perlu kuatkan lagi latihan dan perlu perbanyakkan lagi peluang bermain," katanya.