Kumar berdepan ujian berat

Oleh Penulis Jemputan 21 Disember 2017 2087
Kumar berdepan ujian berat
Penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, bagai 'sudah jatuh ditimpa tangga' apabila anak bongsunya dimasukkan ke hospital ekoran jangkitan virus 'influenza A' hari ini ketika dia masih menunggu hukuman penggantungan kes doping.

Kumar berdepan ujian berat selepas didapati positif sibutramine ketika menyertai Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lalu sementara anak bongsunya pula dimasukkan ke hospital apabila mengalami kesukaran bernafas.

Ia menambah kebimbangan penjaga gol utama negara itu yang kehilangan anak pertama ketika dia mewakili negara ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Belgium pada 2015. 

"Doping itu tiada apa sangat sebab saya lebih risaukan anak saya. Sebelum ini, ada insiden terjadi terhadap anak saya yang meninggal dunia sebelum ini. 

"Saya lebih pentingkan keluarga. Apabila berdepan dengan isu itu (doping), saya mahu selesaikan cepat. Saya mahu mengendalikannya dengan betul," katanya.

Kumar sedang menunggu maklum balas Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) mengenai tarikh proses pendengaran di Switzerland bulan depan. 

Jika didapati bersalah, dia berdepan penggantungan maksimum dua tahun.

"Saya perlu mendapatkan bantuan daripada orang yang tiada kena mengena dengan KHM (Konfederasi Hoki Malaysia). Dengan berlatih bersendirian, saya boleh lakukan.

"Saya tidak boleh menggunakan kemudahan kerajaan dalam masa penggantungan sementara. Saya boleh jaga diri saya," ujarnya. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen