Jurulatih pasukan hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menegaskan kualiti ketara menjadi jurang di antara Malaysia dan empat pasukan teratas, sekaligus menyukarkan hasrat untuk sekurang-kurangnya berada di kedudukan ketiga Piala Asia.

Jika ada program pembangunan ataupun pendedahan terbaik skuad wanita di luar negara, sudah pasti barisan Dhaarma mampu keluar daripada kepompong sukar.

Namun, hakikat yang perlu di terima, Malaysia baru sahaja menamatkan cabaran Piala Asia 2017 di kedudukan kelima selepas menumpaskan Thailand 4-0 di Kakamigahara, Jepun, hari ini.

"Kami telah menunjukkan (kemampuan) kepada empat teratas di mana kami mampu bersaing dengan mereka. Kami sudah nampak kami hampir mendekati (prestasi) mereka dalam kejohanan ini.

"Tetapi saya masih berasa (perbezaan) dari segi pengalaman dan kebolehan tanpa bermain dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik. Tekanan dalam dua perlawanan menentang China dan India nampak ketara," katanya.

Thailand, yang memiliki hasrat besar untuk menumpaskan Malaysia, nampaknya terpaksa menunggu peluang seterusnya selepas skuad Malaysian Tigress hebat memastikan kelebihan mereka bermula pada awal permainan.

Dua jaringan yang terhasil daripada Noraini Abdul Rashid menerusi pukulan sudut penalti membawa kepada pilihan pemain terbaik.

"Hari ini, dia mengambil dua flik yang berbeza. Situasi itu lebih senang untuknya. Dia melakukannya dengan cara yang berlainan," tambah Dhaarma.