Perancang utama skuad hoki negara, Fitri Saari, hampir pasti menyertai Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) menjelang Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun depan selepas enam tahun menabur bakti bersama Terengganu Hockey Team (THT).

KLHA memulakan langkah awal untuk membentuk skuad mantap bagi menghadapi LHM 2020.

Kelibat Fitri dan penyerang kebangsaan, Faizal Saari, dalam majlis anjuran Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, mengundang persoalan adakah tonggak utama kebangsaan itu akan menyertai gergasi Lembah Klang berkenaan.

"Kalau KLHA beri tawaran yang lebih baik, saya akan pergi tetapi kalau THT pula yang buat tawaran lebih baik, maka saya akan kekal.

"Itulah dalam fikiran saya buat masa ini," kata Fitri.

Adik beradik itu ditemui di Majlis Ahli Hidrosefalus YHN zon tengah (Kuala Lumpur dan Selangor) di ibu negara, semalam.

Menurut Faizal pula: "Saya sudah lima tahun bersama THT. Saya mungkin akan kekal."

Setelah memainkan tugas penting, terutama membantu skuad yang berpangkalan Pantai Timur itu menjuarai Piala TNB dan Piala Sumbangsih 2019, kontrak mereka akan tamat 31 Disember depan.

"Saya sedang memantau pemain-pemain handalan dan mereka berdua antara yang terbaik. Mengapa tidak kami bawa mereka masuk kalau ada (peluang).

"Tetapi saya akan berbincang dengan pengurus pasukan dan ketua jurulatih tapi saya rasa boleh," seloroh Megat Shariman.