KLHA kekal di Stadium Hoki KL-- Megat

Oleh Bernama 25 Jun 2020 42
KLHA kekal di Stadium Hoki KL-- Megat
Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) berjaya mencapai kata sepakat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk terus kekal di Stadium Hoki Kuala Lumpur.

Presiden PHKL, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, berkata kedua-dua pihak mendapat persetujuan tersebut dalam satu pertemuan pagi tadi selain membincangkan beberapa isu lain yang berkaitan. 

“Kami kini dalam proses akhir mendokumentasikan semua perjanjian tersebut yang mana selepas ini menyaksikan lebih banyak pengisian aktiviti dan program antara kedua-dua pihak.

“Pihak kami optimis kerjasama dengan DBKL ini amatlah penting dan secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada komuniti hoki di Kuala Lumpur selain mengekalkan stadium tersebut sebagai ‘rumah rasmi’ PHKL,” katanya menerusi kenyataan.

Pertemuan itu dihadirinya bersama Ahli Jawatankuasa Stadium yang terdiri daripada Naib Presiden PHKL, Muhamad Fariz Mustafa serta Sukhjit Singh sebagai wakil ahli gabungan PHKL.

Dalam pada itu ketika dihubungi Bernama, Megat berkata kontrak perjanjian tersebut dijangka akan dikeluarkan DBKL tidak lama lagi dan persetujuan yang dicapai hari ini merupakan satu lagi perkembangan terbaik untuk sukan hoki yang boleh dimanfaatkan kedua-dua pihak.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen