Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, dalam tempoh terdekat bagi mencari penyelesaian berhubung krisis pemilikan pengurusan Stadium Hoki Kuala Lumpur di Bangsar.

Presiden KLHA, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin, berkata beliau berharap krisis berkenaan dapat diselesaikan menerusi pertemuan itu kelak, sekali gus memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

"Perjuangan kami ini adalah untuk memastikan warga Hoki Kuala Lumpur terus mempunyai stadium dan membolehkan kami memperbanyakkan aktiviti pembangunan hoki di sini sebaik tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Mungkin ada beberapa pihak telah membuat kenyataan terdahulu tanpa mengetahui keadaan sebenar, tindakan itu menjadikan situasi ini bertambah keruh. Jadi harapan saya semoga semua warga hoki di Kuala Lumpur faham dan jelas pihak KLHA sedang melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Megat D. Shahriman, isu pemilikan pengurusan itu berlarutan sejak beberapa tahun lepas dan pengurusan baru KLHA yang diketuainya sentiasa mencari jalan penyelesaian.

DBKL baru-baru ini mengeluarkan notis kepada KLHA supaya mengosongkan pejabat mereka di stadium hoki berkenaan dengan serta merta susulan kegagalan menguruskan venue itu dengan baik sejak beberapa tahun lalu.

KLHA mula menguruskan Stadium Hoki Kuala Lumpur sejak 1988.

-- BERNAMA