Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan penamatan kontrak semua jurulatih di bawah badan induk itu dalam usaha membawa nafas baru kepada struktur hoki negara bagi tahun 2020.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, ketika mesyuarat eksekutif hari ini.

Semua barisan pegawai dan jurulatih yang bernaung di bawah badan induk itu ditamatkan kontrak yang akan berakhir pada bulan ini, termasuk untuk skuad remaja.

Bagaimanapun, status ketua jurulatih skuad lelaki negara, Roelant Oltmans, dikekalkan memandangkan kontraknya masih berjalan sehingga Oktober 2020.

"Kami sedang melakukan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan membuat keputusan bahawa kesemua jurulatih dilepaskan kerana kami mahu bermula daripada awal.

"Sewaktu liga kebangsaan, saya rasa banyak pemilihan akan diadakan. Kami perlu memberi peluang kepada yang lain, ia boleh jadi nama baru atau lama," katanya.

Dalam masa sama, Subahan turut mengesahkan tiada pasukan yang akan menarik diri daripada saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) tahun depan dengan pengekalan jumlah tujuh pasukan lelaki serta wanita dan ia bakal bermula 11 Januari depan.

"Saya rasa tiada penarikan diri tetapi biar pihak berkenaan yang maklumkan. Akan ada mesyuarat pengurus pasukan selepas ini tetapi surat sudah diberikan kepada setiap pencabar. Kenyataan susulan akan diumumkan kemudian."