Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih menunggu keputusan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk sesi pendengaran kes doping melibatkan penjaga gol skuad hoki negara, S. Kumar, yang diharap berlangsung pada hujung bulan ini.

Segalanya tampak tidak seperti yang diharapkan setelah isu membabitkan Kumar masih dalam proses penyerahan dokumen walaupun sudah berlanjutan hingga dua bulan selepas KHM menerima surat bertarikh 12 Disember 2017 daripada FIH.

KHM mengharapkan sesi pendengaran daripada FIH segera diputuskan, dengan Kumar sendiri bakal mengaku bersalah dengan dakwaan yang dijelaskan FIH menerusi penyalahgunaan bahan terlarang jenis sibultramine.

"Segala keperluan yang diperlukan daripada kami telah dijalankan, termasuk segala laporan.

"Jadi, kami berharap agar pihak FIH akan melihat semula perkara ini," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Kehilangan tempat dalam saingan Sukan Komanwel, April depan, kini Sukan Asia adalah satu-satunya harapan Kumar untuk kembali menyarung jersi negara, namun ia bergantung kepada keputusan segera daripada FIH.

"Kami tetap mengharapkan Kumar dapat segera kembali bersama kami.

"Diharapkan proses pendengaran semula itu tidak akan ditangguh sekali lagi kerana ia akan memberikan masalah kepada kami," kata Subahan lagi.