KHM tubuh pusat latihan program khas akar umbi

Oleh Muzaffar Musa 23 Februari 2021 87
KHM tubuh pusat latihan program khas akar umbi
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini mengumumkan penubuhan satu pusat latihan program khas akar umbi yang akan berpusat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di mana ia merupakan salah satu projek di bawah Program Pembangunan Hoki Kebangsaan KHM-MSN-KPM (NHDP).

Program yang dijalankan secara percuma itu dijangka akan bermula pada awal bulan depan selepas mendapat kelulusan Kerajaan Malaysia dan ia terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah selain menyasarkan penyertaan daripada seluruh Malaysia.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal, dalam sidang media hari ini turut mengumumkan perlantikan Kevin Nunis, ikon dalam sukan hoki di Malaysia, selaku ketua jurulatih program khas itu dan akan dibantu oleh penolong jurulatih, yang juga bekas pemain kebangsaan, Nabil Fikri Mohd Noor.

“Ini merupakan salah satu projek di bawah Program NHPD dan ia akan dipantau secara terus oleh KHM dan walaupun ia terbuka kepada semua, namun masih lagi tertakluk di bawah peraturan yang akan disediakan.

“Melentur buluh biar dari rebungnya dan usia di bawah 12 tahun adalah usia terbaik untuk membentuk mereka menjadi seorang pemain yang bukan sahaja terbaik dalam sukan hoki tetapi juga sahsiah diri mereka termasuk menjadi seorang yang bersidiplin, pandai membawa diri, mengikut arahan yang diberikan dan berasa seronok ketika sesi latihan.

“Projek ini juga sebagai salah satu cara untuk KHM dan bekas-bekas pemain kebangsaan berkhidmat kembali untuk masyarakat dengan berkongsi pengalaman dan ilmu dalam sukan hoki yang mereka miliki.

“Pemilihan Kevin Nunis selaku Ketua Jurulatih adalah kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bidang pembangunan, bekerjasama rapat dengan anak-anak muda serta beliau merupakan bekas pemain kebangsaan dan salah seorang ikon dalam sukan hoki.

“Beliau akan dibantu oleh Nabil Fiqri, yang juga bekas pemain kebangsaan dan Nabil dipilih selepas menjalani beberapa proses pemilihan selain beliau juga secara peribadi seorang yang cukup komited, merupakan pemain cukup tegas di luar dan di dalam padang, seseorang yang  bersemangat tinggi serta minatnya dalam sukan hoki begitu tinggi,” katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen