Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sedia kehilangan jurulatih ternama jika ada antara mereka yang mengikat kontrak jangka masa panjang bersama kelab Liga Hoki Malaysia (LHM) bermula 10 Januari ini.

KHM kekal dengan pendirian semua jurulatih yang tamat kontrak 31 Disember ini perlu memohon semula untuk menjalani proses temu duga pada Mac depan.

Tindakan itu mengundang risiko hilang khidmat jurulatih ternama, apatah lagi ada yang sudah mengikat kontrak bersama kelab LHM.

Tempoh kontrak itu tidak didedahkan, namun badan induk itu sedia jika ada yang enggan mengikut proses itu.

"Mereka perlu faham dengan setiap keputusan yang diambil. Mereka telah dimaklumkan secara umum bahawa kami akan membuat temu duga dan memberi peluang sama rata kepada semua orang.

"Jadi, apabila mereka terima, ia adalah pilihan individu demi kebaikan pasukan yang mereka bawa," kata Timbalan Presiden KHM, Datuk Prof. S. Shamala.

Antara jurulatih yang sudah mengikat kontrak bersama kelab liga tempatan ialah Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (Terengganu Hockey Team), Norsaiful Zaini Nasiruddin dan Madzli Ikmar Mohd Noor (TNB) dan Lailin Abu Hassan (PKS Uniten).

Sementara itu, Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengumumkan skuad lelaki dan wanita Afrika Selatan sudah mengesahkan penyertaan dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, sekali gus menutup peluang Malaysia untuk mendapatkan slot melalui pintu belakang.

"Kami telah memberikan tarikh akhir kepada pasukan yang sudah melayakkan diri. Jadual Olimpik Tokyo sudah disediakan tetapi ia hanya menunggu untuk diumumkan. Jadi, kami sudah lengkap," ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AHF, Datuk Tayyab Karim.