KHM tidak berdepan masalah cari pengganti Dhaarma

Oleh Staff Writer 11 Februari 2020 80
KHM tidak berdepan masalah cari pengganti Dhaarma
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak mempunyai masalah mengisi kekosongan jawatan jurulatih skuad hoki wanita negara selepas menerima 21 permohonan terhadap kekosongan yang ditinggalkan bekas jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah. 

Itu kata-kata Timbalan Presiden KHM, Datuk Dr. S. Shamala, selepas menerima 21 permohonan yang terdiri daripada tujuh calon antarabangsa dan selebihnya tempatan. 

Lebih meyakinkan apabila ada antara calon antarabangsa yang membuat permohonan pernah menjadi jurulatih kebangsaan seperti Belanda, England dan India. 

Kriteria utama pemilihan adalah keupayaan individu itu memecah kedudukan ranking Asia -- Malaysia kini berada di tangga kelima selain layak ke pusingan separuh akhir Kejohanan Piala Juara-Juara Asia di Korea, Jun depan.

"Jurulatih yang berpotensi harus yakin dengan kemampuan untuk menghadirkan keputusan positif kepada skuad wanita negara," katanya.

Sementara itu, Dr. Shamala tidak menidakkan kredibiliti bekas jurulatih, Dhaarma, serta berpandangan terdapat ruang buat jurulatih tempatan mengisi kekosongan itu. 

"Tiada individu yang lebih besar daripada negara ini. Kami harus menghormati  pihak yang memilih untuk berhenti sekerat jalan dalam perjalanan ini. Ia adalah keputusan mereka dan akan sentiasa ada individu yang mengutamakan bendera negara berbanding perkara lain."



Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen