KHM sudah bayar hadiah kemenangan Hockademy

Oleh Bernama 6 Julai 2020 79
KHM sudah bayar hadiah kemenangan Hockademy
Selepas hampir lima bulan menanti, pasukan Hockademy mendapat perkhabaran gembira apabila menerima hadiah kemenangan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 berjumlah RM67,000 daripada Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Hockademy, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pembayaran wang hadiah kemenangan itu dapat membantu meringankan beban pemain yang rata-ratanya terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kami barisan pengurusan Hockademy ingin mengucapkan terima kasih kepada KHM yang telah memberi kerjasama sewajarnya dalam menyelesaikan pembayaran tersebut selain membuktikan KHM sentiasa prihatin dengan nasib pemain.

“Justeru, Hockademy bercadang mengadakan satu majlis keraian penyerahan wang imbuhan kemenangan kepada pemain. 

“Bagaimanapun, dijangka berlaku kelewatan pembayaran wang hadiah itu kepada pemain kerana pihak KHM ‘tersilap’ menyalurkan wang itu ke dalam akaun Persatuan Hoki Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.

Pasukan berkenaan, yang membuat penampilan sulung dan muncul juara kategori wanita LHM 2020, sebelum ini menuntut KHM segera menjelaskan wang kemenangan liga, yang tamat pada 22 Februari lalu.

Difahamkan, pasukan Hockademy wanita menerima hadiah wang tunai berjumlah RM65,000 -- RM50,000 selaku juara liga dan RM15,000 selepas muncul naib juara Piala Vivian May Soars -- manakala pasukan lelaki yang menamatkan saingan di tangga keenam, menerima RM2,000 bagi anugerah ‘Fair Play’.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen