Pengarah kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Soon Mustapha, mengesahkan Mohd Amin Rahim akan mengambil alih tugas penolong jurulatih kebangsaan selepas kontrak Lim Chiow Chuan tidak disambung.

Penampilan sulung Amin bersama skuad kebangsaan adalah ketika The Malaysian Hockey Tigers muncul sebagai naib juara Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, bulan lalu, yang dianggap berjaya.

Justeru, KHM berpendapat bahawa bekas pakar pukulan sudut penalti negara ini wajar diberi peluang membantu ketua jurulatih, Stephen Van Huizen, menjelang misi utama, Sukan Asia Indonesia 2018 selaku kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Kita boleh mulakan serta-merta dan Amin boleh mula membantu Van Huizen bila-bila masa. Sekarang ini, pasukan sedang berehat dan tiada latihan buat masa ini. Jadi, apabila latihan bermula semula nanti, dia boleh terus melapor diri kepada skuad senior,” kata Soon.

Amin pernah dilantik penolong jurulatih skuad projek 2016 ketika Malaysia menduduki tangga ke-11 Piala Dunia Remaja tahun lalu sebelum diminta membantu kempen negara ketika menghadapi Piala Asia.

Ketika zaman kemuncak sebagai pemain, bekas kapten negara ini terkenal dengan tahap disiplin tinggi.

Sementara itu, Chiow Chuan akur dengan keputusan KHM selepas mengadakan pertemuan dengan presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal.

Kontrak pengendali kelahiran Melaka ini tidak disambung walaupun The Malaysian Hockey Tigers cemerlang sepanjang tahun ini.

Chiow Chuan dilantik penolong jurulatih negara pada 2015 dan sejak itu, dia terbabit dalam semua kejayaan besar seperti layak ke Piala Dunia 2018, mempertahankan pingat emas Sukan SEA dan muncul naib juara Piala Asia.

"Saya menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan hati yang terbuka. Pada masa sama, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak KHM kerana telah memberikan saya peluang untuk bersama pasukan kebangsaan selama dua tahun ini.

"Saya juga ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada mereka agar terus berjuang. Saya sentiasa mendoakan kejayaan pasukan kebangsaan," katanya.

Kontrak Chow Chuan tamat pada September namun beliau diminta meneruskan tugas hingga tamat Piala Asia.

Chow Chuan dijangka kembali ke pangkuan Kelab Hoki Kuala Lumpur menjelang Liga Hoki Malaysia, Januari depan.