Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan segera berunding dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyelesaikan isu lampu limpah Stadium Hoki Kuala Lumpur yang tidak menepati piawaian Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) untuk menganjurkan kejohanan.

KHM memutuskan tiada sebarang perlawanan akan dijalankan di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada waktu malam memandangkan isu lampu limpah yang tidak mencapai 800 lux seperti yang ditetapkan FIH.

Sebanyak empat stadium akan menjadi gelanggang pertarungan dengan Stadium Hoki Bukit Serindit di Melaka dan Stadium Hoki Batu Burok di Kuala Terengganu turut tersenarai.

Ia bertujuan untuk mengelak pemain ditimpa sebarang kecederaan serius jika beraksi dalam situasi yang tidak mengizinkan.

"Kami telah menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa stadium dan beberapa stadium didapati tidak berada dalam keadaan baik untuk menganjurkan perlawanan pada sebelah malam.

"Kami akan cuba mengatasinya memandangkan beberapa pasukan telah meminta KHM untuk menulis surat kepada pihak DBKL untuk membaikinya," kata Pengerusi Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2017, George Koshy.

Dalam perkembangan lain, KHM berjanji perjalanan LHM tidak akan terganggu meskipun diadakan serentak dengan penganjuran Liga Hoki Dunia Wanita yang bermula 14 Januari ini di Kuala Lumpur.

"Kami cuba untuk mengurangkan jumlah perlawanan.

"Sehubungan itu, saingan Divisyen Satu hanya bermula selepas Liga Hoki Dunia Wanita. Tapi aksi Liga Perdana tetap dilangsung dan perlu dihabiskan awal kerana kita tidak mempunyai pilihan lain lagi berikutan pasukan lelaki akan menghadapi Liga Hoki Dunia Lelaki di Trininad & Tobago (penghujung Mac)."