Pengarah Program Podium, Tim Newenham, menegaskan tiga kejayaan besar skuad hoki negara tahun ini bukan jaminan untuk terpilih ke dalam program sukan termahal negara dengan pengumuman senarai atlet terbaru dijangka pada 10 November depan.

Layak ke Piala Dunia 2018, mempertahankan pingat emas Sukan SEA dan muncul naib juara Piala Asia buat julung kalinya di Dhaka, kelmarin, masih belum boleh menentukan sama ada skuad hoki negara dapat menyertai Program Podium.

Proses temuduga persatuan sukan kebangsaan sedang dijalankan dan Newenham menerima beratus-ratus pencalonan atlet untuk menyertai program itu.

Sehubungan itu, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu meyakinkan Program Podium.

"Skuad hoki negara benar-benar mempamerkan persembahan yang cemerlang dan secara idealnya, memenangi pingat emas atau sekurang-kurangnya perak atau gangsa dalam Sukan Komanwel atau Sukan Asia ketika menentang pasukan besar. Iitu yang akan dipertimbangkan oleh ahli panel dan kami akan membuat keputusan berdasarkan kriteria itu," kata Newenham.

Seramai 117 atlet berada dalam Program Podium seperti juara dunia keirin, Azizulhasni Awang, dan juara terjun dunia, Cheong Jun Hoong.

Antara kriteria pemilihan, atlet perlu menghuni ranking enam terbaik dunia, berpotensi meraih pingat Sukan Komanwel dan Asia tahun depan serta Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketika ini, seramai 29 atlet negara berjaya menghuni kelompok enam terbaik dunia.

"Persaingan sengit dan tanda aras yang ditetapkan adalah tinggi. Ia akan terus meningkat dan ini bermakna atlet yang tersenarai perlu membuktikan bahawa mereka terus berkembang dan kekal mencapai sasaran pingat yang ditetapkan," jelasnya.