Pemerhati hoki negara, I. Vickneswaran, menegaskan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang tinggi terhadap jurulatih wanita kebangsaan yang dijangka dilantik bulan depan.

KHM perlu sekurang-kurangnya menetapkan calon pengganti Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mampu membawa Malaysia berada dalam kelompok empat terbaik Asia.

Ini kerana skuad negara gagal memecah dominasi Jepun, India, Korea Selatan dan China sejak kali terakhir meraih tangga ketiga Piala Asia 1985.

Lantas, KHM perlu sekurang-kurangnya menetapkan KPI yang tinggi di mana ia gagal dicapai beberapa jurulatih terdahulu.

"Malaysia berada di tangga kelima terbaik Asia sejak era 90-an lagi. Sememangnya cabaran yang berbeza dihadapi oleh setiap jurulatih dan pembaharuan amat diperlukan bagi meningkatkan pasukan ke tahap yang lebih tinggi," kata Vickneswaran.

Tarikh tutup untuk memohon jawatan pengendali wanita negara tamat tengah malam Isnin lalu.

Seramai 21 calon menghantar permohonan dengan tujuh daripada mereka jurulatih luar negara.




Editor: Ammar Hakim