KHM muktamatkan lokasi penginapan rasmi gelembung LHM 2021

Oleh Ammar Hakim 2 Mac 2021 38
KHM muktamatkan lokasi penginapan rasmi gelembung LHM 2021
Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini secara rasminya mengumumkan Hotel Pullman Kuala Lumpur, Bangsar telah dipilih selaku lokasi penginapan rasmi bagi Gelembung Penganjuran Kejohanan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2021.

Keputusan untuk memilih Hotel Pullman Bangsar dibuat oleh Ahli Lembaga Eksekutif KHM, selepas Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal bersama Timbalan-Timbalan Presiden, Prof. Dato’ Dr. S. Shamala serta En. Jadadish Chandra serta Bendahari, En. Selvendran melakukan perbincangan juga tinjauan ke beberapa lokasi lain yang turut berada di dalam senarai lokasi cadangan.

Antara kriteria pemilihan lokasi rasmi Gelembung Kejohanan TNB MHL 2021 termasuk kedudukan lokasi tersebut, harga yang ditawarkan untuk penginapan jangka masa panjang, fasiliti yang dimiliki bagi membantu pasukan membuat persiapan juga keupayaan lokasi tersebut untuk memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi penganjuran kejohanan.

Dato’ Sri Subahan Kamal dalam pada itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia terutamanya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga Majlis Sukan Negara (MSN) yang telah banyak membantu untuk merealisasikan penganjuran TNB MHL 2021.

“Soal keselamatan dan keselesaan semua yang terlibat dalam Gelembung Penganjuran Kejohanan TNB MHL 2021 adalah perkara yang sangat dititikberatkan oleh KHM kerana semua sedia maklum tempoh sebulan bukan satu tempoh yang singkat dan kebajikan mereka perlu dijaga.

“Keselamatan setiap pemain dan pegawai juga sangat penting bagi memastikan tidak berlakunya penularan wabak Covid-19 selain kami juga tidak mahu wujudnya kluster daripada kejohanan ini.

“Kami di pihak KHM akan menggunakan sebaiknya kepercayaan serta peluang yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia seperti MKN, KBS, KKM juga MSN untuk penganjuran kejohanan tahun ini diteruskan.

“Saya juga percaya setiap individu yang terlibat dalam penganjuran kejohanan ini sama ada secara langsung atau tidak akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan sebaiknya untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan juga mengekang penularan wabak Covid-19,” ujar Dato’ Sri Subahan Kamal.

Penganjuran Kejohanan TNB MHL 2021 yang menampilkan lapan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita pastinya akan menjadi penganjuran yang unik ekoran daripada penularan Wabak Pandemik Covid-19 kerana buat pertama kalinya kejohanan akan berjalan secara gelembung atau berpusat.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen