Malaysia akan menjadi tumpuan sukan hoki dunia untuk tempoh dua tahun akan datang apabila Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengumumkan bidaan bagi menganjurkan tiga kejohanan Piala Dunia.

Mesyuarat Lembaga Eksekutif KHM hari ini meluluskan usaha untuk menghantar permohonan rasmi kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Isnin ini bagi menganjurkan Piala Dunia Remaja Wanita 2021.

Ia pelan ketiga selepas usaha menganjurkan Piala Dunia Lelaki 2022 dan Piala Dunia Wanita 2023 mendapat sokongan daripada kerajaan.

Jika bidaan itu berjaya, skuad wanita dan remaja wanita negara akan membuat penampilan sulung dalam Piala Dunia, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai tumpuan dunia.

"FIH juga sedang memerhatikan kami selepas kejayaan menganjurkan pusingan kelayakan yang lalu.

"Mereka mahu kami mengemukakan permohonan untuk menganjurkannya.

"Kami akan mengadakan perbincangan dengan mereka untuk mendapatkan situasi menang-menang.

"Ia amat bagus untuk kami memandangkan pasukan wanita kami dapat beraksi di peringkat dunia," katanya.

Malaysia pernah menganjurkan Piala Dunia Wanita di Kuala Lumpur pada 1983 tetapi skuad negara tidak mengambil bahagian.

Subahan turut mengumumkan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KHM akan diadakan pada 16 November depan -- dua minggu selepas skuad lelaki negara menentang Great Britain di London dalam pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami telah membincangkan mengenai hala tuju sejak empat tahun lalu.

"Ia juga mengenai empat tahun akan datang.

"Katakanlah peralihan itu berlaku, sesiapa sahaja yang mengambil alih, ia terpulang kepada mereka untuk meneruskannya atau tidak.

"Tetapi saya fikir ia sesuatu yang merugikan jika mereka tidak meneruskannya kerana kami nampak skuad hoki wanita boleh pergi lebih jauh," tambahnya.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan turut meluluskan pelantikan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah sebagai ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara berkuatkuasa serta-merta.

Pengendali itu menggantikan Yahya Atan, kurang dua bulan menjelang Sukan SEA Filipina.

Namun, apa yang mengejutkan ialah petunjuk prestasi utama (KPI) yang diletakkan kepada Dhaarma adalah untuk merampas pingat emas yang dimenangi Thailand dalam temasya di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

"Dengan situasi yang tinggal sebulan setengah ini dan pemain-pemain yang beraksi di luar negara, saya akan mencuba sedaya-upaya untuk mendapatkan semula pemain-pemain saya yang berada di Eropah.

"Terutama penjaga gol, Farah Ayuni (Yahya), saya kena berbincang dengan kelab di England itu untuk membawanya pulang bagi menyertai skuad dalam dewan.

"Saya rasa saya juga akan cuba untuk mendapatkan pemain-pemain di Jerman bagi mendapatkan pasukan terbaik," kata pengendali baru berkenaan.