Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh, mengambil langkah berani apabila mencadangkan penganjuran Liga Hoki Remaja, September ini dengan kehadiran penonton.

Difahamkan cadangan ini bakal dibentangkan dalam mesyuarat lembaga eksekutif KHM, Sabtu ini.

KHM berpotensi menjadi persatuan sukan pertama di Malaysia yang membuka pintu kepada penonton sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, Mac lalu.

Anil sudah menyiapkan kertas cadangan untuk membenarkan kurang 50 penonton menyaksikan saingan tersebut -- bergantung kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Semua jenis sukan memerlukan penonton untuk menghadirkan semangat. Tiada penonton seperti mendung tetapi tidak hujan. Sukan memerlukan penonton untuk memberikan impak. Kami akan menyediakan SOP yang bersesuaian sebelum mengambil langkah ini," kata Anil.

Liga Hoki Remaja dijadualkan berlangsung 30 September ini.

Bagaimanapun, Piala Razak yang sepatutnya bermula 21 Ogos terpaksa ditunda atas arahan kerajaan.

"Kami sangat mementingkan mutu permainan serta prestasi dalam setiap perlawanan. Kami berasakan empat hingga enam minggu diperlukan untuk menyediakan pemain-pemain dan bulan Oktober amat sesuai untuk saingan bersambung semula," kata jurulatih AHP-Thunderbolt, Mohd Sufian Mohamad.