KHM ambil keputusan tepat hantar The Young Tigers sertai Piala Dunia Remaja

Oleh Ammar Hakim 19 Disember 2016 2
KHM ambil keputusan tepat hantar The Young Tigers sertai Piala Dunia Remaja

Pencapaian tangga ke-11 membuktikan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) telah membuat keputusan yang tepat menghantar skuad kendalian Wallace Tan bagi mencabar dalam Piala Dunia Remaja walaupun hanya melakukan persiapan dalam masa seminggu.

Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) memuji Malaysia kerana berani menyahut cabaran menggantikan Pakistan dan berjaya meraih kelompok pertengahan mengatasi lima lagi pasukan yang membuat persiapan rapi.

Ternyata, pemain negara memiliki asas permainan yang baik dan buktinya apabila meraih tangga ketiga Kumpulan B di belakang Belgium dan Belanda.

"Memang ada kebimbangan kerana kami kekurangan persiapan dan mungkin tewas dalam semua perlawanan dalam peringkat kumpulan.

"Kami sangat berpuas hati dengan pencapaian mengakhiri saingan di tempat ke-11 daripada 16 pasukan," kata ketua jurulatih skuad pembangunan negara, Wallace Tan.

Malaysia kemudian mencabar kelompok ke-9/12 dan akhirnya meraih tangga ke-11 selepas menewaskan Austria menerusi penentuan pukulan penalti.

The Young Tigers meledak tujuh gol dalam lima perlawanan -- jumlah yang rendah ekoran ketumpulan pakar pukulan sudut penalti, Najmi Farizal Jazlan dan Firdaus Omar.

Cuma, sikap positif, kekuatan mental dan kecergasan pemain menjadi kelebihan ketika saat genting.

"Kami telah memperbaiki pada setiap perlawanan yang kami harungi, saya sangat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian ini," ujar kapten skuad pembangunan negara, Najib Abu Hassan.

"Pegawai-pengawai FIH mengucapkan terima kasih kepada kami dan memberikan ucapan tahniah kerana mengakhiri saingan jauh lebih baik daripada beberapa pasukan yang membuat persiapan hampir setahun," jelas pengurus skuad pembangunan negara, Nasihin Nubli.

Ini kejohanan terakhir buat tujuh pemain yang akan meninggalkan saingan peringkat usia bawah 21 tahun.

Rakan-rakan lain akan meneruskan cabaran bermula Januari depan dengan pengalaman cukup berharga bahawa Malaysia meraih tangga ke-11 Piala Dunia Remaja di Lucknow, India.

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen