Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, akan mengesahkan ahli baru jawatankuasa teknikal persatuan itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat susulan peletakan jawatan pengerusi jawatankuasanya, Datuk Ow Soon Kooi, sebelum ini.

Subahan mengakui akan memangku tugas selaku pengerusi jawatankuasa itu dan peletakan jawatan Soon Kooi tidak akan menjejaskan perancangan skuad negara ke Piala Dunia tahun depan dan juga misi ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Subahan turut memberi gambaran tidak banyak perubahan akan berlaku dalam kalangan ahli Jawatankuasa Teknikal KHM.

"Tiada isu kerana sebagai presiden, saya bertanggungjawab. Saya akan duduk berbincang dengan ahli jawatankuasa dan melihat apa yang terbaik.

"Saya fikir saya presiden yang melibatkan diri dalam semua perkara dan dalam masa dua minggu, saya sudah dapat barisan baru," katanya.

Dalam pada itu, Subahan menegaskan sasaran KHM adalah untuk muncul pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 di Palembang dan Jakarta dalam usaha mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Tokyo.

Keyakinan Subahan terhadap skuad negara adalah berlandaskan pencapaian terkini barisan negara.

"Saya fikir ia boleh dicapai. Dalam sukan ini, apa-apa saja boleh berlaku. Ia boleh dicapai selepas melihat cara mereka bermain dengan Pakistan, Korea Selatan dan Jepun. Kami harus persiapkan diri untuk satu tahun di depan," tambahnya.