Keputusan Oltmans wajar dihormati -- Mirnawan

Oleh Shaiful Shamsudin 6 Jun 2020 3291
Keputusan Oltmans wajar dihormati -- Mirnawan
Menjadi pemain kesayangan ramai bukanlah jaminan untuk memikat hati ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, yang enggan buka pintu kepada gandingan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari.

Wartawan Nadi Arena, Halizah Hamzah, mendapatkan kepastian dengan pengendali kelahiran Belanda itu yang yakin bahawa barisan muda mampu mengambil alih tugas pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari, menjelang kempen Piala Asia selaku kelayakan Piala Dunia 2023.

Hampir 11,000 peminat di media sosial menyokong Faizal untuk kembali menyarung jersi negara selepas digugurkan Februari lalu.




Penyerang berbisa itu muncul penjaring kedua terbanyak Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 dengan 14 gol dan 12 daripadanya menerusi gol padang.

Namun, ia belum cukup untuk memikat pengendali berpengalaman itu.

"Ia sudah muktamad, saya sudah menjelaskannya dan memberinya peluang. 

"Tetapi mengenai mengenai rasa tidak berpuas hati mereka merupakan pandangan peribadi.

"Usah lupa perkara paling mustahak dalam situasi ini pada akhirnya ialah apa yang saya harapkan daripada mereka.

"Saya berhasrat mempertaruhkan pemain muda yang memiliki bakat," katanya ketika dihubungi. 





Sementara itu, bekas ketua pasukan negara, Datuk Mirnawan Nawawi, menganggap keputusan jurulatih berumur 66 tahun itu wajar dihormati untuk melihat hasil optima program yang diterapkannya.

"Yang pertama, kita perlu lihat apabila seseorang jurulatih itu dilantik, KHM akan memberi kuasa mutlak kepadanya untuk memilih pemain.

"Kita perlu hormat keputusannya.

"Faizal dan Fitri perlu meyakinkan jurulatih untuk memilih mereka semula," katanya kepada wartawan, Bazly Azmi. 

Situasi itu sama sekali dianggap menidakkan kemampuan barisan muda dalam misi memburu slot tiga pasukan terbaik Piala Asia tahun depan sambil Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) membina hak sebagai tuan rumah.

"Dengan program yang baik dan teliti dalam jangka masa dua tahun lagi, mungkin pemain-pemain ini mampu melakukannya menerusi persiapan yang cukup.

"Dalam masa yang sama, kedua-dua pemain yang digugurkan ini masih mampu memberi komitmen kepada pasukan negara, tetapi mereka perlu berikan 100 peratus kepada pasukan kebangsaan."

Begitupun, Mirnawan enggan mengulas panjang mengenai kontrak Oltmans yang berakhir November ini. 

"Kita tidak tahu lagi dengan masa depan tetapi kita perlu hormat dengan jurulatih ketika ini yang diberikan tanggungjawab."

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen