Pengadil negara, Eric Koh, membanggakan arena hoki kebangsaan apabila membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia 2018 ketika mengadili perlawanan England dan China yang berakhir seri 2-2 semalam.

Eric mencapai satu daripada impian utama dalam karier pengadilan apabila juruterbang pesawat komersial itu melaksanakan tugas dengan baik dalam aksi Kumpulan B, sekali gus mencatat sejarah peribadi dalam penampilan sulung Piala Dunia.

Ia menjadi penghormatan tertinggi kerana beliau sudah memiliki lesen panel Piala Dunia yang membolehkannya selangkah lagi untuk mencapai satu lagi impian, iaitu bertugas di pentas Sukan Olimpik.

"Ia satu perjalanan yang panjang buat saya. Saya mula menyertai arena antarabangsa sejak 2009 dan ia memerlukan hampir 10 tahun untuk ke tahap ini.

"Ia memberi makna segalanya buat saya setelah mencapai impian ini. Saya berharap dapat melakukan penampilan dalam Sukan Olimpik dua tahun lagi. Saya perlu berusaha lebih keras lagi," katanya.