Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, terus mengharapkan keajaiban untuk skuad kendaliannya ke pusingan play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas meraih tempat ketiga dalam Pusingan Akhir Siri Hoki FIH dengan menumbangkan Republic Czech 3-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.

Terdapat tiga cara untuk layak ke pusingan play-off berkenaan, iaitu menerusi liga profesional, Pusingan Akhir Siri Hoki FIH dan kedudukan dalam ranking dunia.

Kuota berkenaan akan diberikan kepada empat pasukan terbaik liga profesional, enam pasukan terbaik dalam pusingan akhir siri hoki dan empat pasukan terbaik dalam ranking dunia.

Selepas ditolak lima juara benua, pasukan di ranking ke-19 dunia akan berpeluang ke pusingan play-off.

"Terdapat empat pasukan lagi boleh layak ke (play-off) kelayakan ke Sukan Olimpik di mana kalau kami dapat menduduki ranking ke-20, kami masih berpeluang kerana Scotland yang berada di ranking ke-18 dunia tidak dapat beraksi dalam pusingan kelayakan.

"Ia disebabkan mereka sebahagian daripada pasukan Great Britain, jadi kami masih berpeluang," katanya.

Malaysia sebelumnya menghuni ranking ke-22 dunia dengan 514 mata, namun ia belum dicampur dengan pencapaian dalam Sukan Asia Indonesia 2018 dan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH yang tamat semalam.

Malaysian Tigress cuma dibezakan 20 mata dengan Republic Czech, yang berada di ranking ke-19 dunia, sekali gus berpeluang cerah untuk mencipta keajaiban.

"Kontrak saya memang hingga Disember depan dan saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu, jadi kita perlu tunggu dan lihat," tambahnya.