Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Sukri belum kibar bendera putih

Oleh Penulis Jemputan 3 November 2019 288
Kelayakan Sukan Olimpik 2020: Sukri belum kibar bendera putih
Kapten skuad hoki negara, Sukri Mutalib, menuntut kebangkitan rakan sepasukan untuk tugas sukar menentang Great Britain malam ini atau beberapa pemain senior akan bersara tanpa sempat menikmati cabaran Sukan Olimpik.

Sebelum ini, beberapa tonggak senior pernah menyuarakan hasrat untuk bersara sekiranya gagal melayakkan diri ke Tokyo 2020 dan selepas kekalahan 4-1 di London awal pagi tadi, situasi itu tampak bakal menjadi kenyataan.

Namun, Sukri menegaskan dia masih menaruh keyakinan bahawa skuad bimbingan Roelant Oltmans itu mampu mencipta kebangkitan, seterusnya meneruskan hasrat mara ke pentas Olimpik tahun depan.

"Sudah tentu kami masih ada harapan ke Olimpik. Kami ketinggalan tiga gol tetapi kebangkitan boleh dilakar. Setiap kelemahan perlu diperbaiki," katanya.

"Kami dapat kawal babak awal permainan tetapi selepas itu, ruang diberikan buat lawan. Dalam masa sama, kami gagal menyempurnakan peluang.

"Sangat penting untuk ke pentas Olimpik. Bukan untuk saya sahaja tetapi buat seluruh pasukan serta masa depan hoki negara."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen