Peluang skuad hoki lelaki negara untuk mara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 semakin tipis apabila tewas 1-4 kepada Great Britain dalam perlawanan pertama pusingan kelayakan di London awal pagi tadi.

Anak didik Roelant Oltmans itu ternyata perlu bekerja keras untuk membuka peluang baru dalam perlawanan kedua di Lee Valley Hockey & Tenis Centre malam ini.

Misi menamatkan kemarau gagal layak ke Sukan Olimpik sejak edisi di Sydney, Australia pada 2000 semakin pudar dan hanya keajaiban dalam pertemuan kedua itu dapat mengesahkan laluan Malaysia ke Tokyo.

Malaysia memulakan aksi dengan garang tetapi pukulan sudut penalti pertama pada awal perlawanan gagal diterjemahkan ke dalam gawang lawan.

Bagaimanapun, Nabil Fiqri Mohd Noor bijak menyambut hantaran Muhammad Razie Abdul Rahim untuk mengejutkan penjaga gawang, George Pinner, dengan gol pertama Malaysia pada minit keenam.

Pemain negara jelas menunjukkan mutu permainan yang baik dengan aksi kawalan bola yang lebih kemas oleh pemain pertahanan, Faiz Helmi Jali dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Pasukan tuan rumah itu kemudian bangkit menyamakan kedudukan seawal dua minit pertama suku ketiga menerusi gol padang Sam Ward pada minit ke-33.

Great Britain mula mendapat rentak apabila pintu gawang S.Kumar digegarkan pada minit ke-36 oleh gol padang Phil Roper dan hantaran terus oleh Alan Forsyth pada minit ke-42.

Kad hijau diberikan kepada Faizal Saari dua minit sebelum perlawanan suku ketiga berakhir selepas melakukan kekasaran di bahagian belakang.

Pada awal babak keempat, Great Britain berada di kedudukan selesa dengan kelebihan 4-1 selepas pemain mudanya, James Gall, membolosi gawang Malaysia pada minit ke-47 untuk membawa bekalan selesa menjelang perlawanan kedua.

-- BERNAMA