Tonggak skuad hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, akan bertindak sebagai penggempur tunggal dalam formasi baru pasukan kebangsaan yang dijangka memerangkap Great Britain dalam aksi pertama play-off kelayakan Sukan Olimpik, awal pagi esok.

Aksi menentang Great Britain umpama hidup mati untuk Tengku Ahmad Tajuddin yang pernah mengumumkan akan bersara jika gagal ke Tokyo 2020.

Lebih menarik, penyerang berusia 33 tahun itu akan memainkan tugas penting dalam formasi baru yang bakal menyaksikan Malaysia bermain corak menyerang.

Taktik itu dijangka memerangkap lawan yang diletakkan sebagai pilihan menjelang aksi di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley, London itu.

"Kalau kami dapat perbaiki aspek teknikal secara individu, insya-Allah formasi itu akan berjalan lancar. Persediaan agak baik, jadi kami cuba realisasikan impian yang diusahakan selama ini," katanya.

Malaysia sudah sinonim dengan beberapa formasi seperti 4-3-3 atau 3-2-3-2 tetapi pengendali, Roelant Oltmans, menegaskan perubahan perlu dilakukan jika mahu mengejutkan lawan yang berada di ranking ketujuh dunia itu.

"Kami meneliti setiap posisi secara menyerang dan bertahan. Apa yang penting, kami perlu ikut perancangan. Tekanan sudah pasti ada tetapi saya yakin lawan lebih tertekan," ujar pengendali itu.