Bekas pengendali skuad hoki negara, Paul Revington, menganggap Malaysia berpotensi menumbangkan Great Britain dalam saingan play-off kelayakan Sukan Olimpik selepas mempamerkan peningkatan sejak dia meninggalkan Bukit Jalil pada 2014.

Revington, yang kini bertindak sebagai penolong jurulatih skuad wanita Great Britain, masih mengikuti perkembangan The Malaysian Hockey Tigers sambil mengakui pasukan ranking ke-11 dunia itu mampu mencipta kejutan di Pusat Tenis dan Hoki Lee Valley, London.

"Saya lihat perkembangan pasukan ketika ini agak bagus. Mereka bersaing dalam beberapa tahun dan menunjukkan peningkatan. Mereka hadir ke sini sebagai pencabar yang baik," katanya.

Pengendali kelahiran Afrika Selatan itu juga tidak menolak untuk kembali menabur bakti di Malaysia tetapi buat masa ini, fokusnya ialah membantu pasukannya menewaskan Chile untuk layak ke Tokyo 2020.

"Dalam dunia hoki, secara peribadi, saya sentiasa memiliki tempat istimewa buat Malaysia tetapi saya tidak boleh katakan bila ia akan berlaku. Namun, tiga tahun di sana adalah sesuatu yang bagus."