Ketua pasukan hoki negara, Sukri Mutalib, menegaskan tiada keperluan untuk menekan butang panik bagi mengubah taktikal perlawanan setelah tewas kesemua perlawanan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik 2020 sepanjang minggu lalu.

Skuad negara tiba di tanah air hari ini selepas menamatkan aksi ujian di Stadium Hoki Oi, Tokyo itu apabila tumpas keempat-empat perlawanan.

Lebih perit, mereka tewas dengan jurang besar 1-6 kepada Jepun dalam penentuan tempat ketiga.

Sukri tampil mendedahkan faktor utama pemain gagal mempersembahkan prestasi terbaik ekoran masih penat setelah mengharungi Siri Jelajah Eropah dan mempunyai waktu yang singkat untuk berehat sebelum beraksi di Tokyo.

"Saya tidak terlalu gusar (dengan situasi ini) kerana saya melihat segala-galanya yang berlaku.

"Apa sahaja kritikan daripada pihak luar kami terima dengan hati yang terbuka kerana ia umpama mengejutkan kami daripada lamunan untuk memperbaiki segala kelemahan menjelang kempen kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020, Oktober dan November depan.

"Inilah masa untuk skuad negara kekal bersama (bersatu hati)," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), hari ini.

Ia bukanlah gambaran sebenar kemampuan skuad kebangsaan, tambahan pula dengan pertukaran beberapa pemain utama yang tidak dibawa ke sana, namun mereka masih optimis tiket ke Sukan Olimpik 2020 mampu diterjemahkan apabila bermulanya kempen November depan.

Malaysia mempunyai satu lagi siri persiapan apabila bakal terbang ke Korea Selatan bulan depan sebelum senarai lengkap pemain yang akan beraksi dalam pusingan kelayakan Sukan Olimpik dinamakan ketua jurulatih, Roelant Oltmans.

"Mungkin ia berkaitan dengan gandingan pemain yang pergi ke Eropah selama tiga minggu dan yang tidak pergi.

"Mungkin di situ ada kekurangan berikutan jurang pemahaman dan kombinasi.

"Mungkin kami memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan aspek itu," tambah seorang lagi pemain negara, Nik Aiman Nik Rozemi.