Juara bertahan, Perak, memenangi kesemua perlawanan pusingan awal untuk muncul juara kumpulan A, sekali gus layak ke pusingan kedua Kejohanan Hoki Kebangsaan B-16 di Kuantan.

Kecuali ketika menang tipis 3-2 ke atas Johor, Perak yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Hairul Nizam Abd Rani, membaham tiga pencabar lain, iaitu Kelantan, Sarawak dan Kuala Lumpur.

Pasukan juara itu membenam Kelantan 4-2, diikuti Sarawak (5-0) dan Kuala Lumpur (5-1).

Kuala Lumpur, bagaimanapun, mara ke pusingan kedua selaku naib juara kumpulan.

Hairul Nizam ketika dihubungi bersyukur dengan setiap keputusan yang dicatatkan anak buahnya.

"Alhamdulillah, setakat ini pemain menunjukkan prestasi yang baik sepanjang pusingan awal.

"Saya berharap mereka mampu meneruskan momentum dalam pusingan kedua yang akan dijalankan secara liga dua kumpulan, iaitu X dan Y, " katanya yang kali pertama diberikan peranan selaku ketua jurulatih.

Begitupun, bekas pemain tengah kebangsaan itu tidak mahu terlalu yakin kerana menyedari pencabar dalam pusingan kedua mempunyai kelebihan masing-masing.