Kejohanan Hoki Empat Penjuru: Hajat THT tidak kesampaian

Oleh Ammar Hakim 28 Disember 2016 1
Kejohanan Hoki Empat Penjuru: Hajat THT tidak kesampaian

Impian Terengganu Hockey Team (THT) untuk muncul juara Kejohanan Hoki Empat Penjuru tidak kesampaian apabila dibelasah oleh pasukan Inner Mongolia 9-4 dalam aksi final di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dengan Inner Mongolia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit keempat.

THT menyamakan kedudukan 1-1 dua minit kemudian menerusi Tengku Ahmad Tajuddin.

Namun, Inner Mongolia bangkit untuk menjaringkan dua gol berturut-turut dalam tempoh dua minit selepas itu.

Tersentak, THT meningkatkan usaha dan berjaya mengakhiri babak pertama dengan keputusan 3-3. 

Bersambung dalam babak kedua, penyerang kebangsaan, Faizal Saari, meletakkan THT di hadapan dengan kedudukan 4-3.

Episod ngeri buat THT bermula pada minit ke-43 apabila Inner Mongolia seakan-akan mendapat semangat baru apabila terus meledak enam gol untuk membenam THT dengan keputusan akhir 9-4.

Ia sekaligus menobatkan Inner Mongolia sebagai juara dan THT sekadar berpuas hati meraih tempat kedua.

"Apabila mereka berjaya menjaringkan dua gol dalam satu minit, ia telah menjatuhkan semangat pasukan. Ketika ketinggalan, kami cuba melancarkan serangan dan mereka berjaya menghasilkan serangan balas ke arah pertahanan kami," jelas jurulatih THT, Sarjit Singh.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan, UniKL menewaskan MBPJ 3-2 untuk menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan tanpa kelibat lima awang import kami, pemain-pemain saya masih berjaya beraksi dengan cemerlang,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

 

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen