Pemain skuad hoki negara, Muhammad Noor Firdaus Rosdi, melihat kejayaan Malaysia meraih pingat emas Sukan Olimpik Remaja 2018 adalah hasil daripada keberanian yang dipamerkan rakan sepasukannya.

Malaysia mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan di Buenos Aires, Argentina apabila mengatasi cabaran India 4-2 di pentas final, sekali gus membutirkan emas kedua negara dalam temasya itu selepas pemain badminton perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, menghadiahkan emas pertama negara, kelmarin.

Walaupun turun selaku bukan pilihan dalam final, anak-anak buah Wallace Tan tampil dengan semangat tinggi meskipun tewas dengan lawan sama ketika final kejohanan kelayakan di Thailand, April lalu.

Skuad negara membenam cabaran India menerusi dua jaringan Muhammad Akhimullah Anuar Esook serta masing-masing satu gol daripada Firdaus dan Muhammad Amirul Hamizan Azahar.

Kejayaan itu dilihat sebagai satu petanda positif menjelang Piala Remaja Asia tahun depan yang juga kelayakan Piala Dunia Remaja 2020.

"Alhamdulillah, ini pertama kali saya membawa pulang emas. Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa, rakan-rakan, barisan jurulatih serta semua rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kami," kata Firdaus.

"Saya tidak sangka Malaysia muncul juara kerana kami bukan pasukan pilihan utama tetapi setiap pemain mempamerkan persefahaman yang semakin baik dalam semua perlawanan.

"Keyakinan kami mula meningkat apabila ramai menganggap India akan mudah menang dalam aksi final. Kami bersatu dan yakin sejarah akan tercipta. Ini adalah hadiah buat sukan hoki dan peminat di Malaysia."

Sementara itu, kejayaan skuad hoki remaja negara telah membuka peluang untuk mereka menyertai kem latihan pasukan senior kebangsaan.

Ia sebagai persiapan awal bagi menghadapi saingan Piala Remaja Asia serta tugas mempertahankan emas Sukan SEA Filipina, tahun depan.

"Kami berharap agar Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN) akan menyediakan peruntukan untuk pembangunan sukan hoki kerana kini menampakkan hasil, kami bukan menang di peringkat Asia tetapi Olimpik," kata Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal.

"Diharapkan kejayaan ini akan membuka mata kerana kami jelas memerlukan dana dan telah membuktikan kami mampu melakukannya," tambah Pengarah Teknikal KHM, Terry Walsh.

"Sekiranya kami mendapat peruntukan nanti, saya rasa langkah ini akan diteruskan dan walaupun jika sumbangan dana dihentikan, program yang terlibat akan diteruskan oleh barisan jurulatih di bawah.

"Mungkin dengan inisiatif sendiri atau melalui saluran negeri. Jadi, saya rasa sama ada program itu wujud atau tidak, ia tetap akan berterusan dengan cara yang berbeza," ujar Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.