Kegagalan skuad hoki negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 perlu dilihat daripada sudut positif dan penambahbaikan perlu dilakukan agar The Malaysian Tigers bangkit semula untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Timbalan Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Prof. Datuk Dr. S. Shamala, berkata kegagalan itu dijadikan kayu pengukur dan pengajaran bagi memperbaiki kelemahan agar impian ke Sukan Olimpik yang seterusnya dapat direalisasikan.

Beliau meminta peminat dan barisan pemimpin serta pengurusan skuad hoki negara supaya tidak terus merendahkan moral pemain ekoran kegagalan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebaliknya memberikan semangat kepada mereka untuk fokus menghadapi Sukan Asia dan Piala Dunia 2022.

"Kita tidak boleh duduk murung...kita perlu bergerak ke depan, bekerja keras mencari lebih banyak pelaburan untuk pembangunan skuad hoki negara dan mesti ada semangat yang kuat bahawa kita boleh dan percaya akan layak ke Sukan Olimpik pada masa depan kerana cabaran seterusnya akan semakin sukar.

"Kegagalan memang akan mengecewakan rakyat, khususnya peminat sukan, tetapi pasukan kita sudah buat yang terbaik.

"Daripada segi jalan ke Sukan Olimpik telah begitu dekat tetapi ia berliku untuk mencapai tahap itu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Hoki Melaka hari ini.

Dr. Shamala berkata kegagalan itu tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya ke atas bahu pemain, sebaliknya pelbagai faktor turut menyumbang kepada kekalahan ketika perlawanan menentang Great Britain dalam pusingan kelayakan di London, 3 November lalu.

Katanya, faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan skuad hoki negara ialah keadaan cuaca yang terlalu sejuk sehingga memberikan kesan kepada pemain.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas Sukan Olimpik adalah dalam temasya di Sydney pada 2000.

-- BERNAMA