Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, mengesahkan Hockademy KL ahli bersekutu badan induk itu namun perlu menunggu keputusan Jawatankuasa Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Rabu ini mengenai peluang mencabar separuh akhir Piala Vivian May Soars.

Megat Shahriman membalas surat tunjuk sebab KHM mengenai kesahihan status Hockademy KL.

KLHA menerima permohonan juara Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) itu untuk menjadi ahli bersekutu 3 Januari lalu.

Namun, dakwaan Persatuan Hoki Terengganu ialah Hockademy KL mengesahkan penyertaan dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) sebelum menjadi ahli gabungan KLHA.

Justeru, Jawatankuasa Teknikal LHM akan bersidang esok untuk menentukan status Hockademy KL.

"Perkara ini akan diperhalusi dengan sebaik mungkin kerana ia juga melibatkan pemain-pemain yang telah beraksi bersama pasukan tersebut," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Anil Jeet Singh.

Sementara itu, timbalan presiden KLHA, I. Vickneswaran, tidak dimaklumkan mengenai penyertaan Hockademy KL sebagai ahli bersekutu mereka.

Ini kerana kali terakhir KLHA mengadakan mesyuarat majlis 23 November tahun lalu.

"Permohonan itu selalunya perlu mendapatkan persetujuan dan perlu memenuhi syarat-syarat tertentu," jelas Vickneswaran.