Jurulatih, pemain yakin kemampuan Arul bentuk pasukan mantap

Oleh Bernama 6 Ogos 2020 84
Jurulatih, pemain yakin kemampuan Arul bentuk pasukan mantap
Barisan pemain dan jurulatih skuad hoki lelaki negara percaya akan kemampuan ketua jurulatih baru, Arul Selvaraj, dalam membimbing pasukan itu meraih pingat emas dalam Sukan Asia Hangzhou 2022.

Penolong jurulatih, Muhamad Amin Rahim, yang kini menggalas tugas sebagai pengendali interim skuad negara sehingga Arul melaporkan diri pada 15 Ogos ini, berkata tempoh dua tahun cukup untuk ketua jurulatih itu menjadikan skuad The Malaysian Hockey Tigers sebagai pencabar utama di Hangzhou.

Tambahnya, gabungan pemain muda dan senior akan turut membantu Arul menyediakan pasukan yang mantap bagi meraih pingat emas dalam Sukan Asia, sekali gus menempah slot kelayakan automatik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Kalau ada perancangan dan latihan yang betul, saya tidak nampak kenapa kami tidak boleh menang emas. 

"Dalam Sukan Asia 2018, kita hampir menang emas di bawah kendalian Stephen Van Huizen (menang perak) walaupun tiada jurulatih antarabangsa, jadi saya tidak nampak ia sesuatu yang mustahil dengan cara tempatan  seperti ini.

"Saya rasa untuk peringkat Asia, pasukan seperti Malaysia, India, Pakistan dan Jepun mempunyai peluang seimbang,” katanya dalam sesi latihan pasukan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Amin turut tidak bersetuju dengan kenyataan bekas ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans,  bahawa Malaysia tidak mampu meraih emas Sukan Asia kerana masih jauh ketinggalan daripada segi kualiti pemain dan fasiliti berbanding pasukan seperti India.

Sementara itu, pemain tengah negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil, turut yakin dengan kemampuan Arul untuk menyediakan pasukan bagi meraih emas selepas beraksi di bawah kendalian jurulatih itu selama empat musim bersama Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam saingan Liga Hoki Malysia (LHM).

“Saya harap Arul akan membawa rekod baik di kelab ke pasukan kebangsaan untuk membantu kami mendapatkan sentuhan yang positif. Kami harap dia dapat tingkatkan teknikal dan taktikal barisan pemain sedia ada.

“Kelebihannya adalah menerapkan sentimen bahawa pasukan adalah lebih besar daripada individu supaya pemain akan lebihkan kepentingan pasukan berbanding individu. Hubungannya dengan pemain juga baik,” katanya.

Bagi pemain pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim, kenyataan Roelant itu merupakan pandangan peribadinya, namun yakin kemampuan Arul dan rakan sepasukannya untuk menggunakan masa dua tahun ini untuk berada dalam prestasi terbaik.

“Arul seorang yang sangat komited, profesional di luar dan dalam padang, jadi dia memang layak memegang jawatan ini. Bagi saya, setiap pemain harus mempunyai sasaran untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik dan kami perlu bekerja keras untuk mencapai misi itu,” katanya.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen