Ketua jurulatih hoki remaja lelaki negara, Wallace Tan, menyenaraikan enam muka baru menjelang kem latihan yang akan bermula Isnin depan bagi menggantikan barisan pemain yang telah dinaikkan pangkat ke skuad utama.

Tiga bulan sebelum menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia di Dhaka, Bangladesh, beberapa tonggaknya tidak diberi pelepasan untuk menyertai Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia.

"Persiapan kami akan tertumpu kepada (aspek) teknikal dan taktikal.

"Tetapi apa yang penting juga, kami mahu pemain ada sikap yang tepat untuk mencapai prestasi tinggi selain (sanggup) bekerja keras.

"Liga Hoki Dalam Dewan Malaysia dijangka akan dianjurkan dalam masa terdekat, mungkin Januari depan.

"Kami pula akan berikan tumpuan kepada latihan (persiapan) selain tidak mahu berlakunya kecederaan sehingga pemain memerlukan masa yang agak panjang untuk pulih," katanya dalam sidang media di Bukit Jalil hari ini.

Selepas penelitian prestasi mereka dalam Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 baru-baru ini, Wallace berhasrat menilai enam pemain itu dalam membantunya merebut tiga slot yang ditawarkan ke Piala Dunia Hoki Remaja 2021.

Wallace memanggil 26 pemain dalam pasukan projek khas itu sebelum menggugurkan seorang pemain dalam senarai akhir kelak.