Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) meneruskan teka-teki mengenai jawatan Pengarah Projek Khas Sukan Asia 2026 serta ketua jurulatih skuad wanita negara. Bagaimanapun, khabar angin bertiup kencang mengatakan individu yang bakal mengetuai projek khas Sukan Asia akan tiba dalam masa terdekat.

"Belum lagi, kami akan mengumumkan dalam masa terdekat. Jurulatih yang bakal dilantik akan memulakan tugas bulan September," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

“Dua calon tempatan dan dua calon dari luar negara akan ditemu ramah secepat mungkin (menerusi sidang video), bagi membuat penilaian terakhir jawatan jurulatih itu, sebelum minggu ketiga bulan ini supaya yang terpilih itu nanti boleh mulakan kerjanya pada September.

“Kami juga dalam proses melantik pengarah teknikal yang baru untuk skuad projek Sukan Asia 2026, supaya beliau akan menyertai panel pemilihan tersebut."

Itu kenyataan Subahan apabila wartawan Nadi Arena mempersoalkan mengenai jawatan Pengarah Projek Khas serta ketua jurulatih wanita negara.

Bagaimanapun, dikhabarkan bekas ketua jurulatih program pembangunan wanita elit Britain, Paul Revington, bakal tiba dalam masa terdekat.

Ketua jurulatih skuad lelaki negara, Arul Selvaraj, pula dijadualkan pulang ke tanahair daripada Dublin malam ini.

Sementara itu, bagi dua calon antarabangsa untuk jawatan ketua jurulatih skuad wanita negara difahamkan diisi oleh individu daripada negara Belanda dan England.