Johor muncul juara kategori lelaki Kejohanan Hoki Pra-Sukma yang berakhir di Stadium Azlan Shah, Ipoh petang tadi.

Dalam kejohanan disertai lima pasukan itu, Pahang menduduki tempat kedua manakala Perak ketiga.

Sementara itu, Pulau Pinang muncul juara kategori wanita, disusuli Kedah di tempat kedua dan Terengganu ketiga.

Dalam kategori lelaki, tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2020 itu menunjukkan kehebatan dengan mengutip 10 mata daripada empat perlawanan.

Johor membuka kempen kejohanan tiga hari itu dengan membelasah Perlis 5-0, diikuti kemenangan 2-0 ke atas Pahang dan membaham tuan rumah, Perak, 6-1 pagi semalam sebelum seri 2-2 dengan Terengganu dalam perlawanan terakhir petang tadi.

Pahang pula mencatat tiga kemenangan, iaitu masing-masing 4-1 ke atas Terengganu dan Perak dan 4-3 ke atas Perlis untuk mengutip sembilan mata.

Dalam kategori wanita, Pulau Pinang muncul juara selepas mengutip 10 mata hasil tiga kemenangan dan sekali seri apabila menumpaskan Kedah 3-1, Kuala Lumpur 2-0, Perak 2-0 dan seri dengan Terengganu 2-2 manakala Kedah muncul naib juara selepas mengutip sembilan mata.

Kejohanan anjuran Persatuan Hoki Perak (PHP) itu adalah medan negeri-negeri terbabit untuk menguji kemampuan pemain masing-masing.