Ketua jurulatih skuad hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak ralat walaupun Belanda dan Jerman membatalkan aksi persahabatan di Kuala Lumpur minggu ini kerana mengubah perancangan menjelang final Liga Dunia di India, bulan depan.

Jerman dan Belanda sebelum ini menyuarakan hasrat datang ke Kuala Lumpur selepas skuad kendalian Van Huizen mempamerkan aksi cemerlang dalam separuh akhir Liga Dunia di London, Julai lalu.

Pencapaian tangga keempat di London menyaksikan Malaysia layak ke Piala Dunia 2018 secara merit.

Bagaimanapun, gergasi dunia itu membatalkan pelan terbabit kerana akan terus berlepas ke India menghadapi final Liga Dunia yang bermula pada 1 Disember.

"Jerman dan Belanda memiliki perancangan tersendiri sebelum menghadapi final Liga Dunia," kata Van Huizen.

Malaysia cemerlang sepanjang tahun ini apabila muncul juara pusingan kedua Liga Dunia dan naib juara Piala Asia.

Kapten pasukan, Sukri Mutalib, menyifatkan pembatalan aksi persahabatan itu juga tidak menjejaskan pemain negara.

"Saya melihat ia merupakan satu perkara yang positif. Pembatalan aksi persahabatan dengan Belanda dan Jerman memberikan peluang kepada pemain-pemain Malaysia berehat sebelum berangkat ke India," katanya.