“Ini bagai aksi final buat kami,” itu pandangan jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Wallace Tan, menjelang aksi hidup mati menentang Belgium, petang ini dengan tiket ke suku akhir Piala Dunia Remaja 2016 sebagai pertaruhan.

Malaysia dan Belanda sedang bersaing merebut tiket suku akhir dari Kumpulan B.

Peluang lebih berpihak Belanda kerana menentang pasukan tangga tercorot, Mesir, sementara Malaysia berdepan Belgium yang sudah pun layak lebih awal.

Aksi di Stadium Hoki Major Dhyan Chand bukan sahaja untuk merebut tiket suku akhir, malah menjadi penentu samada The Young Tigers mampu mencapai sasaran ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

“Pemain menyedari mereka mampu melayakkan diri ke pusingan seterusnya, peluang masih terbuka buat mana-mana pasukan,” kata Wallace.

Belgium pula tidak akan menunjukkan belas kasihan terhadap Malaysia.

Mereka mahu mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam Kumpulan B, sekali gus melangkah ke suku akhir dengan lebih yakin.

“Saya mengetahui pukulan sudut penalti mereka sangat efektif tetapi masih bergelut dengan permainan kerana persiapan yang tidak terlalu rapi.

"Buat masa ini, pemain-pemain saya akan berehat sebelum kami membincangkan mengenai perlawanan berdepan Malaysia,” kata Jeroen Baart, pengendali skuad hoki Belgium.

Sementara itu, pemain negara akan cuba mencipta kejutan terbesar kejohanan dengan menyingkirkan Belanda dalam perebutan tiket terakhir dari Kumpulan B.

Ternyata, kejayaan menumbangkan Mesir menjadi pembakar semangat walaupun Malaysia hadir sebagai pasukan jemputan di Lucknow.

“Kami menyedari tugas sukar menanti Malaysia berdepan Belgium tetapi kami akan mencuba yang terbaik,” kata kapten pasukan, Najib Abu Hassan.

“Kami telah bertemu beberapa pasukan dari Eropah sebelum ini, tiada apa yang mustahil, saya akan buat yang terbaik untuk menjaringkan gol,” ujar Najmi Farizan Jazlan, pakar pukulan sudut penalti.

“Malaysia perlu lebih fokus dan mengikut setiap perancangan jurulatih, saya yakin kami mampu melakar kejutan,” kata Zulhamizan Awang Abbas, penyerang negara.