India muncul juara Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia 2016 selepas menewaskan Pakistan 3-2 dalam perlawanan akhir di Stadium Hoki Wisma Belia, Kuantan, malam ini.

India terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Rupinder Pal Singh hasil pukulan sudut penalti, disusuli gol kedua yang dijaringkan Yousuf Affan pada suku kedua.

Usaha Pakistan untuk mengejar kedudukan berhasil pada minit ke-26, menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Muhammad Aleem Bilal, sebelum Ali Shan menyamakan kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, India mengesahkan kemenangan selepas Chandanda Thimmaiah muncul wira menjaringkan gol pada minit ke-51.

Ia kejuaraan kedua yang dimenangi India selepas kali pertama diraih di China pada edisi pertama pada 2011.

Dalam pada itu, tuan rumah, Malaysia menduduki tempat ketiga apabila menewaskan Korea Selatan 3-1 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi sebenar.