Juara bertahan, Pahang, bermula garang dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Razak apabila menundukkan Terengganu 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Hoki Kuala Lumpur, petang tadi.

Ibarat sang gergasi menentang si kerdil, Pahang yang mempertaruhkan tujuh pemain kebangsaan turun menentang Terengganu yang membariskan rata-rata pemain daripada skuad Sukan Malaysia (SUKMA).

Gawang Terengganu bolos seawal minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan pemain kebangsaan, Nuraini Abd Rashid, sebelum Noor Sailah Kerami menjadikan kedudukan 2-0 untuk Pahang terus di depan menerusi gol padang pada minit ke-15.

Nadia Abdul Rahman menambah derita buat Terengganu dua minit kemudian, kali ini menerusi penalti stroke sebelum aksi bijak Wan Nor Faiezah Md Sayuti melepasi kawalan pertahanan Terengganu membolehkannya mencatat jaringan keempat buat Pahang menamatkan suku kedua dengan kedudukan selesa 4-0.

Walaupun Terengganu meningkatkan asakan dalam suku ketiga dan keempat, Pahang nyata unggul dan kedudukan 4-0 kekal sehingga tamat perlawanan, sekaligus menafikan skuad kendalian Harun Al-Rashid Samri itu untuk mencipta kejutan ke atas Pahang dalam aksi pembukaan.

"Sudah tentu gembira dengan kemenangan ini. Perlahan-lahan kami mendapatkan rentak dan majoriti pemain dalam pasukan pernah bermain bersama sementara tenaga muda di dalam skuad berjaya dibimbing dengan baik," kata Nuraini.

"Bagi saya, kekalahan ini tiada masalah, tidak kira berapa jumlah gol yang dibolosi kerana fokus pasukan kali ini berbeza.

"Kami datang ke sini untuk merebut kejuaraan Piala Razak tetapi dalam masa sama ia lebih kepada pendedahan buat pemain-pemain saya," ujar Harun.