Pahang menepati ramalan dengan mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 untuk meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, hari ini.

Aksi separuh akhir itu menyaksikan Pahang turun selaku pilihan manakala ATM ingin menebus kekecewaan tumpas kepada lawan sama dalam final tahun lalu.

Pahang, yang dibimbing Mohd Ashraf Benadict Abdullah, dan diperkuatkan dengan tujuh pemain kebangsaan, berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam peringkat kumpulan.

Meskipun menguasai permainan, Pahang mempunyai kesukaran untuk menembusi kubu ATM yang dikawal penjaga gol, Nadzirah Adzham.

Pahang berada di depan selepas Rabiatul Adawiyah menampan pukulan Siti Noor Amarina Ruhani bagi menewaskan Nadzirah pada minit ke-19.

Hampir menuju rehat, Pahang semakin selesa apabila Siti Zulaika Hussin manfaatkan tolakan Wan Nor Faeizah Md Saiuti untuk gol kedua pasukannya.

Pahang terus mempunyai deretan peluang dalam separuh masa kedua, namun kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

"Pemain saya nampak agresif sedikit. Mungkin faktor cuaca dan terlalu lama berehat. Kemenangan ini sangat penting untuk memastikan kami masuk ke final.

"Kami harap akan meneruskan permainan baik dalam final Ahad ini," kata Ashraf.

Sementara itu, jurulatih ATM, Azizan Mustafa, berkata: "Pemain Pahang bermain bersungguh-sungguh dan pandai membuat penyudah sehingga mendapat dua jaringan.

"ATM bukannya tiada peluang tetapi penyudah kami tidak menjadi."